Saturday, April 24, 2010

KELEBIHAN FIKIR

Menjalankan Hati Dengan menilik Pada Pekerjaan Kerana Menuntut Akan Yang Baik Atau Yang Terlebih Baik.


Firman Allah Ta`ala yang ertinya :

Dan tiadakah menilik mereka itu (Kuffar Mekah) dengan mengambil fikir pada kerajaan didalam tujuh petala langit dan bumi daripada segala yang ajaib-ajaib dan indah barang yang didalam keduanya dan pada barang yang dijadikan dia Allah Ta`ala daripada sesuatu dan pada keadaan hampir ajal mereka itu (jika memikir mereka itu pada indah kejadian barang yang didalam keduanya) nescaya dapat pertunjuk mereka itu padanya atas hikmat Allah Ta`ala dan akmal kudratnya dan jika memikir mereka itu pada keadaan hampir ajal mereka itu maka putuslah angan-angan cita mereka itu nescaya bersegera mereka itu kepada beriman dan amal yang salih

  1. Riwayat Abi Sulaiman, Sabda Nabi Sallallahu `alaihi Wasallam : 
 Berfikir pada akhirat itu mempesakai akan hikmat dan menghidupkan hati dan berfikir pada dunia itu dinding atas akhirat.


Bagi tiap-tiap sesuatu itu penyakit dan bagi tiap-tiap penyakit itu ada baginya ubat. Penyakit hati itu lalai maka ubatnya fikir kerana fikir itu menerangkan mata hati, dengan dialah dilihat akan kebajikan dan kejahatan, yang manfaat dan mudarat. Tiap-tiap hati yang tiada fikir padanya adalah rumah syaitan.

Lalai itu pedang syaitan maka sangat siksa barangsiapa jatuh atasnya, dari itu takutlah kamu daripada lalai kerana jadi  daripada lalai itu tujuh perkara :


  • Kasih akan kemuliaan
  • Kasih akan kaya
  • Kasih akan pekerjaan
  • Kasih akan pakaian
  • Kasih akan isi rumah
  • Kasih akan kenyang
  • Kasih akan tidur




2.  Sabda Nabi Sallallahu `alaihi wasallam :

Yang terlebih hampir kamu daripada aku pada hari kiamat, orang yang terlebih banyak lapar dan berfikir.
 

3. Pada satu riwayat :

Yang terlebih afdhal diantara kamu derajatnya di sisi Allah pada hari kiamat ialah orang yang panjang laparnya dan banyak berfikir pada Allah Ta`ala. Kata Maqdad bin Al-Aswad : Masuk aku atas Abu Hurairah Radhi yallahu `anhu, mendengar aku dia berkata Sabda Nabi Sallallahu `alaihi Wasallam : Berfikir satu saat itu terlebih baik daripada ibadat setahun. Kemudian masuk aku atas Ibnu `Abbas Radhi yallahu `anhuma, Aku dengar  dia berkata Sabda Nabi Sallallahu `alaihi Wasallam : Berfikir satu saat itu terlebih baik daripada ibadat tujuh puluh tahun.  Kemudian masuk aku atas Nabi  Sallallahu `alaihi Wasallam : Aku Khabarkan dia dengan yang demikian itu maka sabdanya: Benar mereka itu. Seru olehmu mereka itu bagiku, maka bertanya Nabi Sallallahu `alaihi Wasallam kepada Aba Hurairah daripada fikirnya. Fikirku pada kejadian tujuh petala langit dan bumi maka sabdanya: Fikir engkau itu lebih baik daripada ibadat setahun.


4.   Sabda Nabi Sallallahu `alaihi Wasallam :

Turun atasku ayat Quran (yang maksudnya) : Kerugianlah bagi barangsiapa membaca akan dia dan tiada  mengambil fikir padanya.

5.   Pada satu riwayat :

Kerugianlah  baginya  di ulang-ulangi akan dia sepuluh kali.

  
Firman Allah Ta`ala (yang ertinya) :

 Pada menjadikan tujuh petala langit dan bumi dan bersalah-salahan siang dan malam itu beberapa tanda (atas  kamal kudrat Allah Ta`ala) bagi orang yang mempunyai akal (tiada dijadikan dia sia-sia jua).


Bertanya Nabi Sallallahu `alaihi Wasallam akan Ibnu `Abbas Radhi yallahu `anhuma daripada fikirnya maka sembahnya fikir ku pada mati dan haru-haranya, maka sabdanya, fikir engkau lebih baik daripada ibadat tujuh puluh tahun maka tiada berlawanan  dua hadis itu kerana bersalah-salahan pada fikirannya.


Kata Ibrahim bin Adham; Bermula fikir itu atas tiga bahagi :

  • Fikir pada segala kejadian Allah dan mengambil dalil dengan dia atas Allah Ta`ala iaitu hal ulama.
  • Fikir pada  segala yang halus-halus dan yang indah-indah daripada segala kejadian Allah Ta`ala dan kelebihan segala nikmatnya. iaitu asal syukur bagi Allah Ta`ala.
  • Fikir pada segala amal kerana menyucikan dia daripada campur umpama ria dan takbur yang membinasakan dia , iaitu kelakuan orang yang `abidin (ahli ibadat).

Kata Fadhil Rahimahullahu Ta`ala;
Fikir itu cermin hati, dengan dialah engkau lihat akan segala kebajikan engkau dan segala kejahatan engkau dan yang manfaat dan yang mudarat.

Kata satengah orang yang `arifin;
Fikir itu dua bahagi:
  • Fikir pada Tuhan
  • Fikir pada barang yang bergantung dengan hamba.
Adapun fikir pada Tuhan itu telah ditegah oleh syara` daripadanya. Tersebut didalam sahihin, barang yang menguatkan haram memikirkan pada khaliq saperti khabar Bukhari :
Datang syaitan akan seorang daripada kamu maka berkata ia; siapa menjadikan begini dan siapa menjadikan begini hingga berkata ia siapa menjadikan tuhan engkau, maka apabila sampai akan dia demikian itu hendaklah minta berlindung dengan Allah daripadanya dan hendaklah tertegah dan berkata ia  > beriman aku kepada Allah<.

Adapun fikir pada barang yang bergantung dengan hamba maka sayugianyajika fikir atas maksiat maka hendaklah bersegera ia kepada taubat dan istigfar, jika fikir atas kebajikan maka bersyukurlah, kemudian fikirkan pada memindahkan segala anggotanya daripada maksiat kepada taat. Kedua matanya membimbang dengan tilik iktibar, lidahnya membimbang dengan zikir, istigfar, tasbih dan azkar. Demikianlah pada sekalian anggotanya malam dan siang didalam taat akan Tuhan Al-Waahidul Qahhaar. Kemudian fikir ia pada bersegera bagi segala waktunya dengan segala yang sunat barang sekuasanya, kerana menuntuti bagi laba dan darjat pada negeri akhirat. Tilik pada singkat umurnya, maka hendaklah ia jaga baginya dahulu daripada hilangnya.

Fikir ia pada sifat batinnya maka hendaklah ia meninggalkan sifat kecelaan saperti ria, takbur, ujub, bakhil, hasad dan dengki. Dan memperbuat ia akan segala perkara yang kepujian saperti sedekah, ikhlas, sabar, takut dan harap.

Memikirkan kejadian Allah itu adalah sabesar-besar derajat yang mendampingkan diri kepada Allah.  Tilik pada kejadian diri engkau daripada indah susunannya, memadailah diri kamu untok dijadikan iktibar.

Firman Allah Ta`ala :
 Dan pada diri kamu tidakkah kamu lihat tanda yang menunjukkan atas kesempurnaan Kudrat Allah Ta`ala.?

Tiadakah kamu mengambil iktibar pada kejadian kamu daripada permulaan kejadian kamu hingga kesudahannya.?
Allah Ta`ala telah menghiasi manusia dengan beberapa anggota yang zahir dan dihimpunkan padanya beberapa perkara yang berlawanan iaitu panas dan sejuk, kering dan basah.

Pada diri kamu terdapat pertolongan daripada Allah berupa nikmat saperti hidup, ilmu, kudrat, amal, perkataan, pendengaran, penglihatan, segala yang lazat-lazat. Sabesar-besar nikmat itu adalah nikmat Iman dan Islam. Walaupun beribadat siang dan malam lima ratus tahun nescaya tiada menyamai akan nikmat satu mata jua pun.

Allah Ta`ala memalingkan daripada kamu akan segala yang mudarat dan kebinasaan, ini menunjukkan Allah Ta`ala amat kasih sayang akan hambanya lebih daripada kasih sayang ibu akan anaknya.

Jika Allah Ta`ala tidak mengurniakan nikmat-nikmat ini nescaya tiada kamu dan jika diputuskanNya nikmat-nikmat itu binasa kamu. Maka yang demikian itu sabesar-besar nikmat yang tiada dapat dikira-kira yang mewajibkan kamu syukur dan taat akan Tuhan yang mengurniakan segala nikmat itu.

Dan jikalau lali kamu daripada demikian itu maka ditakuti dihilangkan segala nikmat itu daripada kamu dan dirasai akan pedih azabNya.

Firman Allah Ta`ala :
Sesungguhnya jika syukur kamu nescaya Aku (Allah) tambahkan akan kamu dan sesungguhnya jika kufur kamu, maka sesungguhnya siksaKu  amat pedih.

Sesungguhnya telah dibangkitkan kepada kamu akan rasul yang dikuatkan dia dengan beberapa mukjizat yang menyalahi adat, yang keluar dari kuasa anak Adam dan mengkhabarkan ia bahawasanya bagi kamu itu Tuhan yang Amat Mengetahui dengan segala asrar hambaNya dan barang yang bergerak pada segala fikirannya, lagi Amat Kuasa atas menyiksa akan hambaNya jika menderhaka ia, dan memberi pahala  jika taat akan Dia dan bahawasanya syurga itu negeri nikmat tempat kesudahan bagi hambaNya yang bahagia serta dengan berbagai-bagai nikmatnya kekal selama-lama.  Dan bahawasanya neraka itu negeri azab tempat kesudahan bagi hamba yang selaka serta berbagai-bagai siksanya kekal selama-lama.

Wallallahu a`lam.

No comments:

Post a Comment

 
http://permatapemberianyangindah-w34-wahab.blogspot.com/2010/04/menjagakan-segala-hati-yang-lalai.html